Katak Bertanduk

Katak Bertanduk atau dalam bahasa Inggerisnya Horned Toad-frog merupakan sejenis katak yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang dibezakan dengan katak biasa. Terdapat 8 spesis "Batrachians" yang dikenali sebagai "Katak Bertanduk" di Malaysia. Katak jenis ini amat sukar ditemui kerana penyamaran dari segi warna yang disesuaikan dengan alam semulajadi habitat amfibia tersebut. Ciri-ciri utama katak Bertanduk adalah ia kelihatan seperti mempunyai tanduk. Tanduk ini kelihatan lebar dan tajam dan terdapat di 3 penjuru dari sisi kelopak mata serta bahagian tengah kepala. Manakala pada bahagian belakang terdapat sepasang pelipat atau lipatan pada bahagian kulit. Warna katak ini berubah mengikut persekitaran dan kelaziman berwarna seperti warna tanah liat sehingga coklat kemerahan. Selain itu, terdapat juga beberapa bintik hitam pada bahagian belakang. Katan bertanduk juga mempunyai bahagian badan yang tegap, bersaiz sederhana, kaki pendek manakala lebar bahagian kepala adalah sebahagian daripada panjang badan yang dicampur dengan kaki. Katak jantan mempunyai saiz di antara 70 -105mm manakala katak betina mempunyai saiz yang lebih besar iaitu 90 - 125mm. Katak dari spesis ini lazimnya terdapat di Hutan Asal, "Primary Forest" iaitu di kawasan tanah rata hinggalah ke kawasan tanah tinggi yang curam pada paras 1600m. Katak dewasa akan membiak di kawasan sungai yang mengalir perlahan dan sederhana. Namun, terdapat juga yang ditemui berhampiran dengan kawasan air terjun. Secara taburan, spesis ini boleh ditemui disegenap pelusuk Borneo, selain di Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan yang telah dikenal pasti adalah Gunung Tapis, Gunung Benom, Bukit Fraser dan Pulau Tioman (Pahang), Templer Park, Hutan Simpan Bukit Lagong dan Genting Sempah (Selangor), Taman Negeri Endau-Rompin (Johor) dan Kuala Betis (Kelantan).